ALLAH MAHA PENYAYANG...
SETULUS DAN SESUCI KASIH
Aku dulu pernah buat penulisan artikel di UTUSAN MALAYSIA, sebabnya aku praktikal di sana dulu..
Jadi di bawah ini salah satu penulisan yang aku tulis, aku interview seorang di bahagian LPPKN mengenai perkahwinan, sebabnya Utusan Malaysia ada buat eent GERBANG PERKAHWINAN di PICC PUTRAJAYA.
Jadi banyaklah isu tentang perkahwinan..
BACALAH dengan baik ye!
p/s Alhamduillah...aku pun dah kawin..
Oleh NOOR HAMIZAH ABU BAKAR
PERKAHWINAN adalah cara untuk
meletakkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan di landasan yang
betul. Ikatan perkahwinan merupakan ikatan yang dibina atas tuntutan
agama dan bukan atas kehendak nafsu semata-mata.
Apabila kita
perhatikan insan sekeliling bermesra, bergurau senda, dan berbahagia
bersama orang tersayang, pasti akan terselit sedikit perasaan cemburu
walaupun sekelumit.
Jauh di sudut hati, kita juga berkeinginan
begitu. Ada tempat untuk kita berkongsi suka duka, ada tempat untuk
meluahkan rasa hati, ada tempat untuk kita bermanja dan mencurahkan
kasih sayang.
Penolong Pegawai Penerangan Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga dan Negara (LPPKN), Rahmah Othman berkata, terdapat
beberapa perkara yang harus diamalkan dalam mengukuhkan perkahwinan,
sama ada untuk yang baru melangkah ke alam perkahwinan mahupun yang
lama.
"Gerbang perkahwinan ini bukan sekadar melayari mimpi
indah. Di dalamnya penuh onak dan duri, adakalanya bahtera dikemudi
hilang arah tujuan dan memaksa untuk berteduh dan berlindung.
"Justeru,
antara perkara-perkara yang harus dipraktikkan adalah seperti
mengamalkan bahasa cinta. Dengan melafazkan kata-kata yang memberi
keyakinan seperti pujian, penghargaan, dan galakan kepada pasangan
masing-masing.
"Selalu mengucapkan perkataan-perkataan yang
menunjukkan kasih mendalam kepada isteri. Contohnya ucapan "sayang", "I
love you", "I missed you" dan sebagainya, terutama ketika akan berpisah,
sama ada lama atau sekejap, jauh atau dekat.
"Jika si isteri
atau suami ingin ke tempat kerja katakan padanya seperti 'sayang,
bawalah kereta hati-hati, saya sayangkan awak' dan kata-kata lain yang
boleh memberi semangat untuk dia melakukan kerja," katanya.
Rahmah
berkata, masa adalah sangat berharga , maka wujudkan masa ceria bersama
pasangan seperti memberi hadiah walaupun hari itu bukan hari lahirnya.
Ini demi memperkukuhkan ikatan dan menggembirakan pasangan.
Beliau
juga menjelaskan bahawa sentuhan fizikal juga adalah satu bentuk
komunikasi yang paling berkesan dalam menyemarakkan api cinta.
Sementara
itu kerap menzahirkan rasa cinta sama ada melalui sentuhan mahupun
ucapan, ia akan melahirkan keselesaan bila berdua dan akan menjadi akrab
dan mesra antara satu sama lain.
"Sikap hormat menghormati,
bertanggungjawab, memahami minat pasangan, pandai untuk menangani
konflik bersama serta membuka ruang komunikasi yang positif akan
membuahkan hasil yang baik.
"Apabila berada di alam perkahwinan ini, kita perlu melakukan perubahan ke arah yang lebih positif dalam diri.
"Pertamanya,
menerima baik dan buruk perlakuan pasangan, tukar pandangan anda dengan
berfikiran positif, kemudian tunjukkan yang anda mengambil berat
terhadapnya seperti bersikap penyayang dan jangan pula berpura-pura,"
ujarnya.
Di samping itu, sifat saling memaafkan merupakan sifat
terpuji dan perlu diamalkan, selain bercakap, berbincang, merancang dan
membuat keputusan secara bersama.
Sebagai ketua rumah, suami wajar berunding terlebih dulu dan menghormati pandangan isteri.
Perkara lain yang lebih penting jelasnya adalah bersikap romantik yang biasanya lahir dari hati yang kaya dengan kasih sayang.
"Gangguan
anak-anak malah cucu-cucu tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak lagi
bersikap romantik bersama pasangan masing-masing," ujarnya.
- UTUSAN